KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — AME Elite Consortium Bhd dan I REIT Managers Sdn Bhd, syarikat pengurusan AME Real Estate Investment Trust (AME REIT), secara bersama mengumumkan cadangan pengambilalihan empat hartanah industri pajakan sepenuhnya di Iskandar Malaysia bernilai RM119.5 juta.
Dalam satu kenyataan hari ini, AME REIT berkata ia akan memperoleh hartanah-hartanah itu daripada AME Elite, iaitu syarikat yang membentuk amanah pelaburan hartanah secara pertimbangan tunai.
Dua daripada empat hartanah tersebut terletak di i-TechValley dan dua lagi di i-Park@Senai Airport City.
Hartanah tersebut mempunyai jumlah kawasan boleh sewa yang dipersetujui sebanyak 391,872 kaki persegi, terdiri daripada kilang berasingan satu tingkat dengan pejabat mezanin dan bangunan tambahan, yang kini disewa kepada penyewa bereputasi baik, katanya.
Ia menambah hasil daripada pelupusan oleh AME Elite sebahagiannya digunakan untuk membiayai pembangunan berterusan projek i-TechValley dalam Kluster Perindustrian Logistik Selatan (SILC), iaitu taman perindustrian seluas 27.9 hektar dengan nilai pembangunan kasar yang dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion.
“Baki selebihnya akan diperuntukkan untuk pembangunan dan projek pelaburan hartanah industri di masa depan, termasuk pemerolehan tanah dan usaha sama,” katanya.
AME REIT berkata transaksi tersebut dijangka menjana keuntungan proforma daripada pelupusan kira-kira RM22.9 juta untuk AME Elite (selepas cukai dan kepentingan minoriti), menyebabkan peningkatan ilustratif sebanyak 24.1 peratus dalam pendapatan sesaham kepada 18.08 sen daripada 14.57 sen untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024.
“Urus niaga ini distruktur sebagai perjanjian jual beli antara RHB Trustees Bhd, pemegang amanah AME REIT, dan anak syarikat AME Elite, dengan pertimbangan pembelian diselesaikan sepenuhnya secara tunai.
“Ia akan diselesaikan secara berperingkat antara suku pertama hingga suku ketiga 2025,” tambahnya.
— BERNAMA




