KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari Rabu berikutan aktiviti pengambilan untung di kebanyakan kaunter wajaran tinggi.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.0 mata kepada 1,622.68 daripada 1,629.68 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks itu dibuka 1.63 mata lebih tinggi kepada 1,631.31 dan bergerak di antara 1,619.71 dengan 1,631.31 semasa sesi dagangan pagi.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 717 berbanding 237, manakala 451 kaunter kekal tidak berubah, 1,066 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanayk 2.71 bilion unit bernilai RM1.39 bilion.
Semasa sesi dagangan pagi, Petronas Gas, RHB Bank dan MR D.I.Y Group mencatatkan prestasi positif, berbeza dengan aliran pasaran keseluruhan.
Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan aktiviti pengambilan untung sederhana berlaku dalam pasaran tempatan susulan prestasi Wall Street yang lemah dalam tempoh semalaman.
“Bagaimanapun, ada peluang pembelian yang baik bagi saham berkaitan dengan pemangkin pusat data, manakala saham dalam sektor pembinaan, bahan binaan, hartanah dan utiliti mungkin dibeli dengan pantas dan penuh minat oleh pelabur.
“Selain itu, kami yakin saham teknologi terpilih akan mempunyai daya tarikan menjelang pelaporan kewangan pada Ogos,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma pembrokeran itu menambah pihaknya mendapati berlaku beberapa peningkatan aktiviti perdagangan berkaitan Sarawak, yang mungkin dipantau oleh pelabur.
Antara saham wajaran tinggi, Public Bank susut 1.0 sen kepada RM4.19, CIMB Group turun 2.0 sen kepada RM7.18, Tenaga Nasional menguncup 4.0 sen kepada RM14.40, IHH Healthcare merosot 6.0 sen kepada RM6.25 manakala Maybank tidak berubah pada RM10.10.
Antara saham aktif, MY E.G. Services meningkat 3.5 sen kepada RM1.02, SC Estate Builder menambah 1.0 sen kepada 2.0 sen manakala MQ Technology dan Hubline Bhd masing-masing menokok setengah sen kepada 1.5 sen dan 13 sen.
Sementara itu, Ekovest Bhd turun 1.0 sen kepada 48 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 58.89 mata kepada 12,565.65, Indeks FBMT 100 kurang 56.37 mata kepada 12,143.85, Indeks FBM Emas Syariah susut 74.23 mata kepada 12,900.38, Indeks FBM 70 merosot 101.53 mata kepada 18,746.93 dan Indeks FBM ACE menguncup 59.50 mata kepada 5,852.56.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 34.90 mata kepada 17,939.23, Indeks Perladangan kurang 32.43 mata kepada 7,165.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.45 mata kepada 194.00, dan Indeks Tenaga menguncup 5.08 mata kepada 968.18.
— BERNAMA

