KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) — SD Guthrie dan Press Metal mendorong indeks utama Bursa Malaysia meningkat lebih tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Jumaat walaupun keseluruhan pasaran suram.
SD Guthrie melonjak 27 sen atau 3.10 peratus kepada RM4.57 manakala Press Metal meningkat sembilan sen kepada RM5.59.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.27 mata kepada 1,637.08 daripada 1,633.81 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks itu dibuka 0.25 mata lebih tinggi kepada 1,634.06 dan turun naik di antara 1,632.53 dengan 1,638.27 sepanjang sesi dagangan itu.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 654 berbanding 380, manakala 510 kaunter tidak berubah, 914 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.67 bilion unit bernilai RM1.48 bilion.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd memandangkan prestasi Wall Street yang suram, aktiviti pengambilan untung boleh meluas kepada saham teknologi tempatan.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan ini menjadi peluang baik bagi pembelian saham yang nilainya susut, dengan pelabur mencari saham dalam sektor pembinaan, utiliti, bahan binaan, teknologi dan hartanah.
“Kami memilih saham tertentu dalam industri perkapalan susulan ketegangan berterusan di rantau Laut Merah, manakala ciri-ciri bertahan boleh dilihat dalam sektor pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Indeks Teknologi Bursa Malaysia susut 0.46 mata kepada 77.36.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya serta merupakan pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 yang mencatatkan 7.4 peratus.
Jabatan itu juga mengumumkan KDNK meningkat 5.0 peratus bagi separuh pertama 2024, berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.46, Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM6.05, Press Metal melonjak sembilan sen kepada RM5.59, Maybank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM10.10 dan RM7.15, manakala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing susut satu sen kepada RM4.24 dan RM6.33.
Kaunter aktif termasuk Alpha IVF yang meningkat satu sen kepada 33.5 sen, Sarawak Consolidated naik 2.5 sen kepada 30.5 sen, JAKS tidak berubah pada 19 sen, Ekovest dan MYEG masing-masing kurang satu sen kepada 56.5 sen dan 99 sen, manakala Hubline turun setengah sen kepada 9.5 sen.
Di peringkat indeks, Indeks FBM Emas Syariah menambah 9.37 mata kepada 13,062.66, Indeks FBM Emas susut 1.28 mata kepada 12,675.14, Indeks FBMT 100 kurang 1.57 mata kepada 12,245.11, Indeks FBM 70 susut 97.25 mata kepada 18,879.45, dan Indeks FBM ACE merosot 21.24 mata kepada 5,977.86.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 119.28 mata kepada 7,220.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.61 mata kepada 197.44, Indeks Tenaga meningkat 2.42 mata kepada 974.68 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 40.40 mata kepada 17,959.83.
— BERNAMA

