KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Unit milik penuh Keyfield International Bhd, Keyfield Offshore Sdn Bhd membeli dua Kapal Kerja Penginapan Kedudukan Dinamik 2 (DP2 AWB) daripada dua entiti berasingan bernilai US$36.5 juta (US$1=RM4.70).
Dalam kenyataan pada Selasa, Keyfield menjelaskan Keyfield Offshore menandatangani kontrak pembinaan kapal dengan Jingjiang Nanyang Shipbuilding Co Ltd dan Nantong Shunyang Trade and Development Co Ltd yang berpangkalan di China untuk pembinaan sebuah kapal baharu DP2 AWB bernilai US$30.5 juta.
“Keyfield Offshore juga menandatangani memorandum perjanjian untuk membeli sebuah AWB terpakai, MV Belait Barakah (Barakah) daripada anak syarikat Belait Shipping Co (B) Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei, Belait Barakah Sdn Bhd, secara tunai pada US$6 juta,” tambahnya.
Keyfield memaklumkan kapal baharu itu akan mempunyai ciri yang dipertingkatkan seperti kapasiti penginapan yang lebih besar iaitu 239 orang, sistem pendorongan elektrik diesel untuk penjimatan bahan api, pek bateri, ruang dek yang lebih besar dan kren utama berkapasiti lebih tinggi.
“Kami mungkin dapat menerima penyerahan DP2 AWB baharu itu mengikut jadual pada suku pertama 2026 dan memulakan operasi sewa khas pada tahun yang sama.
“Kami juga menjangkakan Barakah akan bersedia untuk operasi sewa khas pada suku keempat 2024 sejurus selesai pembaikan dan pengaktifannya,” tambah Keyfield.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Datuk Darren Kee berkata kedua-dua kontrak itu adalah sejajar dengan rancangan pengembangan syarikat yang ditetapkan dalam prospektus tawaran awam permulaannya.
Beliau berkata pengembangan itu akan mengukuhkan kedudukan pasaran Keyfield sebagai antara penyedia penginapan luar pesisir terkemuka di Malaysia, meningkatkan kapasiti penginapan keseluruhan yang disediakan untuk pelanggannya.
“Strategi ini akan membolehkan kami memenuhi keperluan pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan kami yang semakin meningkat di Malaysia dan bahagian lain di dunia sekali gus membolehkan kami berada di barisan hadapan dalam industri,” katanya.
— BERNAMA




