KUALA LUMPUR, 12 Jun (Benama) — Penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) pengangkutan, Go Hub Capital Bhd dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 3 Julai 2024 sebagai sebahagian daripada tawaran awam permulaan (IPO) dengan menyasarkan untuk mengumpul RM37.51 juta.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata hasil daripada IPO berkenaan akan diperuntukkan terutama untuk pengembangan operasi perniagaan, perkembangan tawaran penyelesaian inovatif, meningkatkan kebolehlihatan jenama dan penglibatan pelanggan, dan tujuan umum korporat.
“Permohonan untuk IPO dibuka bermula 10 pagi ini berikutan pelancaran prospektus dan akan ditutup pada 20 Jun 2024.
“Pada harga IPO RM0.35 sesaham, Go Hub akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM140 juta menjelang penyenaraiannya,” katanya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong berkata pelancaran prospektus hari ini membawa syarikat itu lebih dekat untuk menjadi entiti tersenarai.
“Selepas berada dalam industri pengangkutan sejak 2011, penyenaraian kami adalah selaras dengan rancangan dan strategi pertumbuhan kami untuk meningkatkan operasi, memperluas tawaran penyelesaian kami dan menjangkau ke luar negara.
“Kami optimis mengenai masa depan dan peluang IPO ini dibuka untuk syarikat kami,” katanya.
UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk Go Hub.
Go Hub menumpukan kepada penyediaan penyelesaian IT yang disesuaikan merangkumi sistem pembangunan perisian tersuai dan integrasi sistem perkakasan dan perisian dengan rekod prestasi yang mantap dalam segmen bas dan rel.
— BERNAMA




![Saham Kajian: NexG Raih Lanjutan Kontrak Dari KDN [8 Julai 2025]](https://thekapital.my/wp-content/uploads/2025/07/250708-TheKapital-Featured-NexG-360x180.jpg)