PETALING JAYA, 28 Mei (Bernama) — UUE Holdings Bhd, penyedia penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2 Julai, 2024 sebagai sebahagian daripada tawaran awam permulaan (IPO) dengan sasaran mengumpul RM29.98 juta.
Pengarah Urusan Datuk Kenny Ting berkata: “Dengan IPO ini, kami berhasrat membelanjakan lebih 50 peratus daripada hasil kasar yang diperoleh untuk pembelian jentera dan peralatan baharu, daripada mesin penggerudian arah mendatar (HDD) kepada lori dan jengkaut.
“Lebih penting lagi, kami berhasrat untuk memiliki mesin pelantar Maxi HDD pertama kami, menandakan usaha pertama kami dalam kerja-kerja HDD dasar laut.
“Kami juga memperuntukkan lebih 36 peratus untuk modal kerja bagi menyokong projek sedia ada dan projek baharu yang kami laksanakan,” katanya di majlis pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.
Sementara itu dalam satu kenyataan, UUE Holdings berkata IPO berkenaan melibatkan penerbitan 124.90 juta saham baharu pada harga IPO 24 sen sesaham.
“Berdasarkan modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 608.29 juta saham pada harga IPO tersebut, permodalan pasaran syarikat akan berjumlah kira-kira RM145.99 juta.
“Saham syarikat ini telah diklasifikasikan sebagai patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.
Melangkah ke hadapan, syarikat itu berkata ia menyasarkan peluang-peluang baharu di kawasan timur Semenanjung.
“Daripada jumlah perolehan nilai kontrak kami sebanyak RM223.4 juta, kami telah berjaya mendapatkan projek bernilai hampir RM84 juta di wilayah timur.
“Dengan status penyenaraian baharu kami dan hasil daripada IPO, kami berdedikasi untuk pertumbuhan yang berterusan, inovasi dan keuntungan yang mampan,” katanya.
M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO itu.
— BERNAMA




![Saham Kajian: NexG Raih Lanjutan Kontrak Dari KDN [8 Julai 2025]](https://thekapital.my/wp-content/uploads/2025/07/250708-TheKapital-Featured-NexG-360x180.jpg)