KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Kimlun Corp Bhd, Kimlun Sdn Bhd memperoleh kontrak pembinaan daripada Astaka Development Sdn Bhd untuk kerja-kerja bangunan utama pembangunan kediaman berperkhidmatan, Aliva Mount Austin, di Johor, bernilai RM150 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kerja pembinaan dijangka siap pada suku keempat 2026.
Pengarah Eksekutif Kimlun Chin Lian Hing berkata syarikat yakin kerjasama ini akan mewujudkan pembangunan yang mengatasi jangkaan dan menyumbang dengan ketara kepada pasaran hartanah di Johor Bahru.
Sejak pelancaran komersial Aliva pada Disember 2023, projek itu telah mencapai kadar pengambilan yang luar biasa sebanyak 70 peratus, katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Allen Khong berkata dengan Projek Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang berjalan dengan baik, didapati lebih ramai pembeli antarabangsa, khususnya dari Singapura, giat mencari hartanah di Malaysia sebagai kediaman kedua atau sebagai pelaburan.
“Sehubungan itu, kami telah berjaya memohon dengan kerajaan Johor untuk mengurangkan ambang minimum pembelian hartanah warga asing bermula daripada RM500,000. Kami menjangkakan faktor-faktor ini akan meningkatkan lagi kadar pengambilan Aliva,” katanya.
Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan Kimlun untuk tahun kewangan dalam tempoh kontrak, kata syarikat itu.
— BERNAMA




