KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Syarikat pembekal automotif EP Manufacturing Bhd memeterai perjanjian pemasangan kenderaan utama dengan syarikat pengilang automotif beribu pejabat di China, BAIC International Development Co Ltd, mengukuhkan perkongsian strategik yang menjangkau tempoh 10 tahun.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, di bawah syarat perjanjian itu, EP Manufacturing melalui anak syarikat milik penuhnya Peps-JV (Melaka) Sdn Bhd akan melaksanakan pemasangan dan pengeluaran kenderaan BAIC.
Menurutnya model awal yang dijadualkan untuk pengeluaran termasuk x55ii dan BJ40+, dengan barisan kenderaan elektrik yang dijadual dilancarkan pada 2025.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, BAIC akan menyediakan sokongan teknikal dan latihan yang berkaitan serta bimbingan dan penyeliaan terhadap proses pemasangan dan pembuatan.
“EP Manufacturing akan bertindak sebagai pemasang kenderaan, memastikan kenderaan BAIC dipasang dengan teliti untuk memenuhi standard kualiti dan prestasi tertinggi,” katanya.
Katanya pakatan sinergistik antara EP Manufacturing dan BAIC menunjukkan gabungan kepakaran Malaysia dan China dengan peluang pertumbuhan bersama, meletakkan Malaysia untuk muncul sebagai destinasi penting aktiviti pengeluaran BAIC, memupuk pertumbuhan, penciptaan pekerjaan dan kemajuan teknologi.
Pengerusi Eksekutifnya Hamidon Abdullah berkata syarikat itu sedang mengemudi agenda dengan arah baharu.
“Kerjasama strategik dengan pengeluar alatan tulen dari China menandakan komitmen kami untuk merangka hala tuju ke arah keuntungan yang lebih baik untuk pemegang kepentingan kami,” katanya.
Sebagai pembekal automotif peringkat satu yang dipercayai, pada masa ini EP Manufacturing menguruskan lima kilang dan kilang yang terletak di lokasi strategik di seluruh Malaysia, membekalkan pemasangan modular, keselamatan dan komponen kritikal kepada pembuat kereta termasuk Proton, Perodua, Honda, Mazda, Toyota dan Kia.
— BERNAMA




