KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) — SBH Marine Holdings Bhd (SBH Marine) memulakan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 25.5 sen dengan mencatatkan premium sebanyak 3.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 22 sen.
Pada pukul 9 pagi, kaunter itu menyaksikan 216.6 juta saham bertukar tangan.
Selepas penyenaraian, permodalan pasaran syarikat itu berjumlah RM195 juta dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 888 juta saham.
Pengarah Eksekutifnya Saw Leng Hean berkata syarikat pengeksport makanan sejuk beku itu optimis terhadap industri makanan sejuk beku kerana ia tidak terjejas oleh inflasi yang memberi peluang kepada SBH Marine untuk berkembang.
“Walaupun semasa pandemik beberapa tahun lepas syarikat kami terjejas tetapi jualan kami terus berkembang. Ini menunjukkan orang ramai kini mencari pilihan protein yang lebih sihat terutamanya dalam protein marin,” katanya pada media di sini hari ini.
Saw juga berkata SBH Marine menyasarkan untuk menumpukan pada segmen pasaran premium, memenuhi keperluan pengguna untuk memastikan kemampanan jangka panjangnya.
Beliau berkata strategi berkenaan akan membolehkan syarikat mencapai margin lebih tinggi kerana ia mengelakkan persaingan langsung dengan negara jiran.
“Seperti yang kita semua tahu, jiran sekitar kita..kita bercakap mengenai Vietnam, Indonesia, Thailand, India, semua orang menyasarkan pasaran komoditi iaitu barangan harga rendah. Kami menyasarkan produk harga premium.
“Produk kami menuju ke tahap pengguna yang lebih tinggi. Oleh itu, ia juga sangat mampan dan permintaan sentiasa ada,” katanya.
Mengulas mengenai krisis Laut Merah, Saw berkata ia bukan isu bagi kumpulan itu kerana jualannya dipelbagaikan dan meluas ke negara Asia juga.
“Penghantaran ke negara Eropah dan Timur Tengah telah terjejas oleh gangguan dalam laluan perkapalan dan beberapa faktor lain.
“Sehubungan itu, kadar penghantaran telah meningkat. Bagaimanapun, kami juga akan dapat mengimbangi kenaikan kadar penghantaran atau kos penghantaran dengan menurun, bermaksud warga Eropah terlibat dalam lebih banyak eksport dan import, menyumbang bukan sahaja kepada kami tetapi juga kepada pasaran global,” katanya.
Sementara itu, SBH Marine berkata ia berjaya mengumpul sejumlah RM39.6 juta menerusi terbitan awam 180.0 juta saham biasa baharu.
“Daripada jumlah kasar ini, lebih 70 peratus akan digunakan untuk pengembangan perniagaan dengan 40.4 peratus atau RM16.0 juta disalurkan untuk pembangunan ladang udang Selinsing, 16.4 peratus atau RM6.5 juta untuk pembinaan kilang pemprosesan makanan laut kedua dan 15.4 peratus lagi atau RM6.1 juta untuk pembelian mesin atau peralatan dan kenderaan bermotor.
“Baki hasil sebanyak RM7.0 juta dan RM4.0 juta masing-masing telah diperuntukkan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian,” tambahnya.
— BERNAMA




![Saham Kajian: NexG Raih Lanjutan Kontrak Dari KDN [8 Julai 2025]](https://thekapital.my/wp-content/uploads/2025/07/250708-TheKapital-Featured-NexG-360x180.jpg)