KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Perstim Industries Sdn Bhd (PISB), anak syarikat milik penuh tidak langsung Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah mencadangkan untuk melupuskan 27,000,001 saham biasa dalam Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) kepada Ocean Sunshine Bhd (OSB) pada harga RM334.73 juta tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BHIC berkata cadangan pelupusan itu bertujuan untuk menyokong keputusan kerajaan bagi memastikan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) siap.
“Pada 29 Mei, 2023, BHIC mengumumkan bahawa lembaga pengarahnyanya telah mengakui menerima surat daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) melalui OSB yang menyatakan hasratnya untuk memperoleh 20.8 peratus daripada jumlah kepentingan ekuiti BHIC di LUNAS yang dipegang oleh PISB.
“Syarat cadangan pengambilalihan masih tertakluk kepada rundingan di antara pihak-pihak terbabit,” katanya.
BHIC berkata inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula operasi dan organisasi syarikat, bertujuan untuk menyelaras dan menjajarkan semula entiti dalam syarikat dan anak-anak syarikatnya yang berkaitan.
Selain itu, ia berkata ini bagi memperkenalkan pemegang saham strategik baharu iaitu OSB, yang sejajar dengan rancangan LUNAS untuk meningkatkan perniagaan dan operasinya, terutamanya dalam pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan kapal tentera laut dan komersial.
“Penstrukturan semula ini bagi memastikan LUNAS dapat menyiapkan pembinaan dan penghantaran LCS kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dalam tempoh masa yang dipersetujui, seperti yang ditetapkan dalam kontrak LCS,” katanya.
Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang berkaitan diperoleh, cadangan itu akan diselesaikan pada suku kedua 2024.
— BERNAMA




