KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — Keuntungan bersih Yinson Holdings Bhd melonjak kepada RM964.0 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2024 berbanding RM589.0 juta pada tahun sebelumnya.
Manakala hasil bagi tahun tersebut meningkat kepada RM11.65 bilion daripada RM6.32 juta.
Yinson dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata peningkatan keuntungan itu disumbang terutamanya daripada aktiviti rancak perniagaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian (EPCIC) kumpulan dan sumbangan baharu daripada operasi pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan apungan (FPSO) Anna Nery sejak minyak pertama diperoleh pada 7 Mei, 2023.
Kumpulan itu berkata bagi suku keempat berakhir 31 Jan, 2024, keuntungan bersih meningkat kepada RM278.0 juta daripada RM171.0 juta berbanding tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya, manakala hasil berjumlah RM2.70 bilion berbanding RM1.96 bilion.
Mengenai prospek masa depan, syarikat itu berkata pasaran FPSO terus menyediakan permintaan tinggi terhadap kontraktor seperti Yinson, yang mempunyai kelebihan dalam teknologi pengurangan pelepasan dan rekod prestasi kukuh dalam penghantaran yang tepat pada masanya, selain prestasi keselamatan dan operasi.
“Permintaan terhadap FPSO adalah positif berikutan peningkatan dalam projek di seluruh dunia terutamanya dari Brazil, yang menjadi pusat permintaan FPSO tertinggi, diikuti Afrika Barat,” katanya.
Dalam makluman berasingan, Yinson mencadangkan dividen akhir satu sen sesaham biasa bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Jan, 2024.
Cadangan dividen akhir itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan syarikat yang akan datang.
“Tarikh kelayakan dan tarikh pembayaran dividen akhir akan ditentukan kemudian,” katanya.
— BERNAMA




