A
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Mah Sing Group Bhd bakal membangunkan perbandaran bersepadu di Beranang, Selangor, dengan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM3.3 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata perbandaran bersepadu itu akan dibangunkan berikutan pemenuhan syarat-syarat terdahulu perjanjian jual beli tanah (SPA).
Ia berkata SPA bagi cadangan pengambilalihan tanah seluas 202.34 hektar bagi pembangunan itu telah menjadi tidak bersyarat.
Tanah itu dibeli daripada Petaling Garden Sdn Bhd dengan harga RM392.04 juta oleh anak syarikat milik penuh Mah Sing, Mestika Bistari Sdn Bhd, Grand Prestige Development Sdn Bhd dan Elite Park Development Sdn Bhd.
Pemeteraian SPA berkaitan pembelian tiga bidang tanah pegangan kekal itu ditandatangani pada 19 Jun 2023.
Mah Sing berkata perbandaran yang akan dinamakan Glengowrie Estate itu akan dibangunkan dengan rumah bertanah dua tingkat, kemudahan terancang dan lot komersial.
— BERNAMA




