KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Crest Builder Holdings Bhd (Crest Builder), Crest Builder Sdn Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM448.5 juta bagi pembangunan komersial di Jalan Shahbandar, Kuala Lumpur, daripada Sunway Velocity Three Sdn Bhd.
Crest Builder dalam satu kenyataan hari ini,berkata projek itu akan terdiri daripada pembinaan 1,604 unit pangsapuri servis di dua blok setinggi 60 tingkat, yang juga merangkumi satu aras tempat letak kereta bawah tanah, lapan tingkat tempat letak kereta bertingkat, dua tingkat mezzanine serta kemudahan rekreasi.
“Kerja-kerja pembinaan ini akan mengambil masa kira-kira 43 bulan untuk disiapkan daripada tarikh pemilikan tapak yang dijadualkan iaitu pada 15 Mac 2024 dan dijangka siap pada 14 Oktober 2027,” katanya.
Selain itu, kumpulan itu berkata nilai perolehan kontrak syarikat, termasuk kontrak tersebut, kini berjumlah kira-kira RM1.8 bilion, yang tertinggi pernah diperolehinya.
“Nilai perolehan kontrak itu akan menyediakan sokongan pendapatan kepada Crest Builder bagi tempoh empat tahun akan datang,” katanya.
Pengarah Urusan kumpulan Crest Builder, Eric Yong Shang Ming berkata, menerusi kontrak pertama bagi tahun ini, kumpulan itu dapat mencapai sasaran penambahan nilai perolehan kontrak berjumlah RM500 juta.
— BERNAMA




