KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, meningkat kepada RM659.87 juta daripada RM620.33 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2022, disumbangkan oleh jualan yang lebih tinggi dan fokus berterusannya untuk memacu kecekapan dalaman dan inisiatif penjimatan.
Ia telah membantu mengurangkan kesan harga komoditi dan kadar pertukaran mata wang yang tidak menguntungkan.
Nestle dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata keuntungan selepas cukai yang bertambah baik itu turut disokong oleh cukai lebih rendah tidak termasuk Cukai Kemakmuran yang dikenakan pada 2022.
Dalam pada itu, hasilnya melonjak sebanyak 5.8 peratus kepada RM7.05 bilion daripada RM6.66 bilion sebelumnya, dipacu oleh jualan domestik lebih tinggi dan didorong oleh permintaan pengguna yang berdaya tahan.
Pengeluar makanan dan minuman (F&B) itu berkata momentum berdaya tahan yang dicapainya mencerminkan kerja keras dan dedikasi pasukannya, sentiasa komited untuk menunaikan janji ‘Good Food, Good Life’ untuk semua rakyat Malaysia.
“Jenama teras kami terus memacu pertumbuhan manakala produk inovatif baharu kami memanfaatkan trend pertumbuhan baharu untuk mencipta platform pertumbuhan untuk masa depan.
“Kami sentiasa memperbaharui komitmen penuh kami untuk memenuhi amanah yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada kami selama lebih 112 tahun yang ditunjukkan oleh rancangan pelaburan kami yang kukuh, menyokong pekerjaan tempatan dan meningkatkan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan keselamatan makanan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak RM1.28 sesaham untuk tahun kewangan 2023, enam sen lebih tinggi daripada dividen interim ketiga 2022 yang akan dibayar pada 16 Mei 2024 kepada pemegang saham yang namanya tertera dalam rekod pendeposit pada 18 April 2024.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023, keuntungan bersih Nestle meningkat kepada RM148.10 juta berbanding RM132.85 juta pada suku keempat 2022 manakala hasil meningkat sedikit kepada RM1.69 bilion berbanding RM1.65 bilion sebelumnya.
Mengenai prospek, Nestle berkata cabaran seperti turun naik harga mata wang dan komoditi mungkin berpanjangan serta sentimen pengguna yang lebih lemah dan kesan terhadap kuasa beli berikutan inflasi terkumpul sejak beberapa tahun lepas.
Nestle berkata ia akan terus menghasilkan produk berkhasiat berkualiti tinggi dan berperisa melazatkan, memenuhi keperluan dan harapan rakyat Malaysia serta membuat perubahan positif kepada masyarakat.
“Pelan pelaburan kami seperti yang dirancang sebelum ini sedang berkembang dan akan menetapkan asas untuk pertumbuhan selanjutnya untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.
Untuk tahun kewanagan 2024, syarikat itu berkata ia yakin dapat menghasilkan prestasi yang berdaya tahan dan memenuhi jangkaan pemegang sahamnya.
— BERNAMA




