KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd (SDP) susut 25 peratus kepada RM1.86 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (TK2023) daripada RM2.49 bilion yang dicatatkan semasa TK2022 disebabkan oleh keuntungan berulang sebelum faedah dan cukai yang lebih rendah ( PBIT) selain peningkatan dalam kos kewangan tetapi sebahagiannya telah diimbangi oleh PBIT tidak berulang yang lebih tinggi.
SDP berkata kos kewangan menokok sebanyak 47 peratus berikutan penanda aras kadar pinjaman yang agak tinggi tetapi ini diimbangi sebahagiannya oleh pinjaman purata enam peratus yang lebih rendah.
Kadar faedah purata berada pada 5.4 peratus setahun berbanding tiga peratus setahun dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Pendapatan juga merosot kepada RM18.43 bilion daripada RM21.03 bilion, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan itu berkata segmen huluan melaporkan PBIT yang lemah sebanyak RM1.15 bilion untuk TK2023, sebahagian besarnya disebabkan oleh harga realisasi purata minyak sawit mentah (MSM) serta isirong sawit yang lebih rendah, masing-masing menurun 15 peratus dan 35 peratus termasuk kenaikan dalam kos operasi estet dan kilang, terjejas teruk oleh kenaikan kos buruh.
“Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2023 (S4 TK2023), kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM200 juta berbanding RM562 juta yang disaksikan pada suku yang sama sebelumnya. Ini disebabkan oleh keuntungan berulang yang lebih rendah yang dikurangkan oleh keuntungan daripada aktiviti tidak berulang,” katanya.
Kos kewangan berkurangan pada suku tersebut, didorong oleh peminjaman yang lebih rendah, walaupun kadar faedah adalah agak tinggi disebabkan lonjakan dalam penanda aras kadar pinjaman, dengan kadar faedah purata berada pada 5.8 peratus setahun berbanding 4.3 peratus setahun yang dicatatkan pada suku yang sama sebelumnya.
“Segmen huluan melaporkan PBIT berulang sebanyak RM198 juta, penyusutan daripada keuntungan suku yang sama sebelumnya sebanyak RM702 juta.
“Faktor utama yang menyumbang kepada keuntungan yang lebih lemah ini adalah kejatuhan dalam purata harga realisasi isirong sawit dan MSM serta pengurangan pampasan daripada perolehan kerajaan dan pendapatan sewa.
“Sektor hiliran melaporkan PBIT yang lebih baik berjumlah RM183 juta pada suku semasa berbanding RM89 juta sebelum ini, didorong oleh pertambahan margin serta volum permintaan dalam operasi Eropah,” katanya.
Ini mengimbangi hasil yang lebih lemah dalam pukal Asia Pasifik dan penapisan berbeza disebabkan margin yang lebih rendah.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata di atas kejayaan pemulihan operasi huluan Malaysia kumpulan itu, SDP menjadi syarikat minyak sawit pertama di dunia yang mempunyai sasaran sifar bersihnya yang diperakui oleh Inisiatif Sasaran Berasaskan Sains ( SBTi).
“Pencapaian ini adalah bukti komitmen berterusan kumpulan terhadap tonggak strategik utama kami untuk pertumbuhan serta kejayaan jangka panjang, kemampanan, kecemerlangan operasi dan inovasi.
“Kami percaya bidang tumpuan ini penting bagi menjamin perniagaan kami pada masa hadapan selain membantu kami untuk bergerak melalui persekitaran operasi yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
SDP ketika mengulas mengenai unjuran TK2024 berkata permintaan MSM dijangka kekal stabil dalam jangka panjang tetapi stok simpanan yang tinggi secara bermusim di negara destinasi utama mungkin memberi kesan kepada permintaan jangka pendek.
“Dengan keadaan buruh yang bertambah baik dan pemulihan dalam operasi huluan Malaysia, kumpulan itu optimis bahawa pertumbuhan pengeluaran buah tandan segarnya akan dikekalkan tahun ini.
“Sementara ia meneruskan usaha penambahbaikan operasinya, kumpulan itu juga secara aktif mencari peluang kerjasama strategik untuk menyokong perubahan yang positif dalam industri,” katanya lagi.
Selain daripada sebarang keadaan yang tidak diduga, kumpulan itu kekal optimis dalam ia melihat ke hadapan untuk satu lagi prestasi yang memuaskan bagi TK2024.
Kumpulan tersebut telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 6.05 sen sesaham, bersama-sama dengan dividen interim 3.25 sen sesaham dan dividen interim khas sebanyak 5.70 sen sesaham, diterjemahkan kepada jumlah dividen satu peringkat sebanyak 15 sen sesaham untuk TK2023.
— BERNAMA




