KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) — Konsortium tujuan khas yang diperbadankan bersama oleh Citaglobal Bhd dan Reneuco Bhd, Citaglobal Reneuco Energy Solution Sdn Bhd (Crees) menerima surat lantikan bersyarat (CLOA) daripada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
Cress merupakan konsortium dua syarikat yang terdiri daripada Citaglobal dengan 60 peratus pegangan saham dan Reneuco memegang baki 40 peratus.
Konsortium itu merupakan pemegang konsesi eksklusif selama 30 tahun bagi membekal dan menyediakan tenaga elektrik dan boleh baharu bagi rangkaian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal dan Raneuco berkata konsesi ini termasuk pembangunan dan pembinaan kemudahan penghantaran dan interkoneksi bernilai RM600 juta, yang dijangka disiapkan dan ditauliahkan secara berperingkat dari awal hingga pertengahan 2026.
Selepas tamat tempoh konsesi, MRL mempunyai budi bicara mutlak untuk memperbaharui tambahan selama 30 tahun, dengan syarat rangkaian ECRL kekal beroperasi.
Citaglobal dalam kenyataannya berkata konsortium itu dijangka membangun dan menyediakan tenaga elektrik serta tenaga hijau sehingga 100 megawatt (MW), bagi mencapai 30 peratus gabungan tenaga hijau daripada jumlah bekalan tenaga untuk rangkaian ECRL.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata projek itu yang pertama seumpamanya untuk rangkaian kereta api, akan menyediakan rangkaian ECRL dengan penghantaran elektrik dan tenaga hijau yang selamat, mencukupi, boleh dipercayai dan kompetitif dari segi kos.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Reneuco Datuk Mustakim Mat Nun dalam satu kenyataan berasingan berkata lantikan itu mewakili satu lagi langkah penting untuk kemajuan projek ECRL.
“Dalam jangka panjang, kami menjangkakan konsesi itu akan membuka jalan kepada pengembangan perniagaan kami dalam segmen tenaga boleh baharu dan utiliti sambil kami meneroka peluang perniagaan baharu dan nilai jangka panjang bagi menyokong sasaran pelepasan karbon sifar bersih kerajaan menjelang 2050, ” katanya.
— BERNAMA




