KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 melonjak kepada RM263.41 juta berbanding RM166.98 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2022.
Hasil turut meningkat 19 peratus kepada RM3.42 bilion daripada RM2.87 bilion selepas disumbangkan oleh peningkatan dalam lawatan pesakit.
“Perolehan untuk segmen Malaysia pada 2023 ditutup pada RM3.35 bilion berbanding RM2.83 bilion yang disaksikan semasa tahun sebelum ini, dipacu oleh penambahan dalam lawatan pesakit iaitu kepada 350,330 orang daripada 297,071 pada tahun kewangan sekarang, ia turut dicerminkan melalui kadar penghunian katil (BOR) yang lebih tinggi sebanyak 67 peratus berbanding 58 peratus pada 2022,” kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Untuk suku keempat 2023, keuntungan bersih KPJ menokok kepada RM73.39 juta daripada RM63.41 juta manakala hasil meningkat kepada RM911.46 juta daripada RM765.83 juta.
Pengendali hospital itu ketika mengulas mengenai prospeknya berkata jangkaan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4 dan 5 peratus pada 2024 merupakan petanda baik bagi kumpulan.
Kumpulan itu menjangkakan kenaikan dalam bilangan pesakit untuk tahun berkenaan, disokong oleh peningkatan dalam katil serta perkhidmatan baharu selain pengambilan kakitangan perunding.
“Pendapatan dalam sektor pelancongan kesihatan dijangka melebihi RM2 bilion pada 2024, yang mana kumpulan itu menyasarkan untuk merebut peluang itu,” katanya lagi.
— BERNAMA




