KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Uzma Bhd, Uzma Engineering Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak bertempoh daripada Petronas Carigali Sdn Bhd untuk kerja modul suntikan air mudah alih (PWIM) untuk platform Sepat.
Uzma dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak itu terdiri daripada menaik taraf dan pengubahsuaian unit PWIM sedia ada, penyahtauliahan PWIM, penempatan semula kemudahan syarikat di Sepat A Well Head Platform kepada keadaan asal serta hamparan laut untuk kerja demobilisasi.
Kontrak itu adalah kesinambungan daripada anugerah sebelum ini yang tamat pada 11 Januari 2024 dan berkuat kuasa pada 12 Januari 2024, kata syarikat itu.
“Kontrak itu akan kekal sah untuk tempoh anggaran 20 bulan atau sehingga kontrak utama Pembangunan Semula Sepat tamat, yang mana berlaku kemudian melainkan ia dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal mengikut terma dan syarat kontrak,” katanya.
Uzma berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan seterusnya sehingga tamat kontrak.
— BERNAMA
TAG: Uzma Engineering, kontrak, Petronas Carigali, PWIM, platform Sepat




