KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Awanbiru Technology Bhd (Awantec) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya Awantec Systems Sdn Bhd (ASSB) telah memeterai perjanjian perkhidmatan dengan Redtone Engineering & Network Services Sdn Bhd (Redtone) bernilai RM294.27 juta.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menurut perjanjian itu, ASSB bertanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan pengkomputeran awan merangkumi produk seperti Google Workspace Enterprise dan Google Cloud Platform bagi projek komunikasi dan kolaborasi bersatu kerajaan, yang diuruskan oleh Redtone, iaitu dikenali sebagai MyGovUC3.0.
Tempoh kontrak bermula dari 14 Feb 2024 hingga 30 Nov 2028 melainkan ditamatkan lebih awal mengikut peruntukan perjanjian.
“Lembaga pengarah Awantec, selepas mempertimbangkan segala aspek berpendapat bahawa perjanjian itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan Awantec,” katanya.
— BERNAMA




