KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Perdana Petroleum Bhd, Perdana Nautika Sdn Bhd telah memperoleh dua kontrak bernilai RM14.3 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perkhidmatan marin luar pesisir itu berkata Perdana Nautika menerima arahan kerja daripada ROC Oil (Sarawak) Sdn Bhd untuk penyediaan kapal bekalan tunda pengendalian sauh (AHTS) bernilai RM8.4 juta. .
Ia berkata tempoh kontrak berkenaan adalah sehingga 120 hari, bermula minggu pertama Januari 2024 dengan diberi pilihan untuk melanjutkan sehingga 30 hari dari tarikh permulaan.
“Perdana Nautika akan menyediakan kapal AHTS dengan kru dan peralatan untuk melaksanakan perkhidmatan 24 jam secara berterusan bagi tujuan membantu dan/atau melakukan penyelenggaraan terhadap pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, ‘derrick barges’ (bot kerja penginapan), menunda dan kerja berlabuh di Sarawak,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Perdana Nautika turut menerima surat anugerah daripada T7 Marine Sdn Bhd untuk penyediaan tongkang kerja penginapan (AWB( bernilai RM5.9 juta.
Ia berkata kontrak itu akan bermula antara 6-20 Feb 2024, untuk tempoh sehingga 50 hari dengan pilihan untuk lanjutan kontrak.
“Perdana Nautika akan menyediakan satu unit AWB dengan kru dan peralatan untuk melaksanakan perkhidmatan berterusan mengikut skop kerja yang dipersetujui untuk membantu aktiviti projek T7 Marine,” katanya.
Menurut Perdana Petroleum, kedua-dua kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
— BERNAMA
 
			 
		    




