KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) — Hartalega Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM22.38 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2023, berbanding kerugian bersih RM31.91 juta dalam tempoh sama setahun lepas.
Perolehan hasil susut 10 peratus kepada RM415.64 juta daripada RM461.84 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Penurunan hasil itu disebabkan terutamanya oleh penyusutan jumlah jualan dan purata harga jualan.
Selain itu, peningkatan keuntungan bersih disumbangkan oleh penurunan kos bahan mentah dan perbelanjaan utiliti, kecekapan pengeluaran yang lebih baik dan penjimatan kos susulan pelaksanaan langkah rasionalisasi operasi.
“Kumpulan turut mencatat pendapatan faedah lebih tinggi serta pembalikan peruntukan tertentu yang tidak lagi diperlukan pada suku berkenaan,” katanya.
Sejajar dengan landskap baharu dan mencabar, Hartalega akan meneruskan Pelan Strategik lima tahun untuk memperkukuh kemampanan perniagaan dan daya tahannya bagi tempoh jangka panjang.
“Langkah rasionalisasi operasi kini di peringkat akhir dan dijangka selesai pada suku pertama 2024 dan selepas itu, kumpulan menjangkakan untuk mencatat peningkatan kecekapan operasi dan kos.
“Ini sekali gus meningkatkan daya saing keseluruhan dan menjadikan kumpulan di landasan tepat bagi pemulihan pasaran,” katanya.
— BERNAMA




