KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Sejumlah 51 juta saham-saham tawaran awam permulaan (IPO) pengeluar kabel tenaga yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE, Master Tec Group Bhd yang disediakan untuk orang ramai telah terlebih langgan sebanyak 7.11 kali.
Syarikat dari Melaka itu berkata sejumlah 7,276 permohonan membabitkan 413.65 juta saham bernilai RM161 .32 juta telah diterima daripada orang ramai Malaysia untuk saham IPOnya.
Di bawah bahagian Bumiputera yang terdiri daripada 25.5 juta saham, 2,475 permohonan untuk 80.30 juta saham IPO telah diterima, yang mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 2.15 kali, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi kategori awam yang lain, sejumlah 4,801 permohonan untuk 333.34 juta saham IPO telah diterima, yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 12.07 kali, kata Master Tec.
Syarikat itu berkata 2.14 juta saham IPO yang disediakan bagi permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak, telah dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, 104.96 juta saham yang tersedia untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya, tambahnya.
Master Tec, yang dijadualkan untuk penyenaraian menjelang 29 Jan 2024, terlibat dalam pembuatan serta pengedaran kabel tenaga, kabel kawalan dan instrumentasi termasuk kabel tenaga arus terus solar di bawah tanda dagangan Mastertec sejak 2009.
— BERNAMA




