KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd, meraih kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM97.75 juta daripada Landasan Kapital (M) Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SCIB berkata kontrak itu melibatkan pembinaan menyeluruh kediaman penuntut yang baharu Universiti Malaysia Kelantan di Kampus Bachok.
Skop projek itu termasuk membekalkan bahan-bahan, tenaga kerja dan peralatan bagi pelaksanaan kerja-kerja sivil dan penstrukturan, seni bina serta mekanikal.
Pengarah Urusan Kumpulan SCIB Ku Chong Hong berkata kontrak itu merupakan pencapaian yang penting bagi SCIB dan mengukuhkan reputasinya sebagai pemain utama dalam industri EPCC Malaysia.
Pembinaan projek bermula pada 12 Jan, 2024 dan dijangka siap pada 16 Nov, 2025.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan SCIB kerana sebarang keuntungan yang diagihkan kepada kumpulan itu akan dibayar secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak,” kata syarikat itu.
Dalam satu kenyataan berasingan, SCIB berkata syarikat itu komited untuk mempertahankan standard kualiti dan kecekapan tertinggi, dan memastikan proses pembinaan projek itu mematuhi amalan mampan alam sekitar.
“Kontrak yang diperoleh ini bukan sahaja memperlihatkan kepakaran SCIB dalam melaksanakan projek pembinaan berskala besar tetapi juga mencerminkan komitmen syarikat terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan menyumbang kepada pembinaan infrastruktur pendidikan,” katanya.
Setakat 16 Januari, permodalan pasaran SCIB berjumlah RM534.6 juta, dengan baki nilai perolehan kontrak tertunggak berjumlah RM361.7 juta.
— BERNAMA




