KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Wentel Engineering Holdings Bhd menyasar mengumpul RM71.03 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Syarikat itu dijadual disenaraikan di Pasaran ACE pada 6 Feb, 2024.
Wentel Engineering terlibat terutamanya dalam fabrikasi produk logam separuh siap, bahagian logam dan pemasangan produk siap untuk pengeluar dalam beberapa industri.
Pelaksanaan IPO kumpulan itu melibatkan penawaran 273.2 juta saham biasa baharu pada 26 sen sesaham.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan, Chuah Chong Syn berkata hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk fasa seterusnya pengembangan perniagaan syarikat dengan 56.31 peratus diperuntukkan untuk membiayai pembinaan kemudahan pembuatan baharunya di Johor Bahru.
Sebanyak 35.24 peratus diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu manakala bakinya adalah untuk membayar perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
“Kilang pembuatan baharu itu dijangka menyediakan kawasan binaan tambahan bersih kira-kira 299,701 kaki persegi untuk operasi Wentel Engineering dan penginapan pekerja, yang dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2025,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran prospektus syarikat, di sini, hari ini.
Chuah berkata kilang baharu itu ditambah dengan peralatan dan teknologi baharu akan membuka jalan kepada syarikat untuk merebut peluang di Malaysia dan Singapura, menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada dan baharu.
Selepas penyenaraian tersebut, kumpulan berkenaan akan mempunyai modal saham diperbesar sebanyak 1.15 bilion saham dengan permodalan pasaran kira-kira RM299 juta.
TA Securities Holdings Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen tawaran saham bagi penyenaraian Wentel Engineering.
— BERNAMA




