KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Eonmetall Group Bhd, Eonmetall Land Sdn Bhd (ELSB) telah menerima surat keputusan dan tawaran pampasan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Klang membabitkan pengambilalihan wajib tanah perindustrian seluas 0.9 hektar bernilai RM30.41 juta.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata tanah berkenaan membentuk sebahagian daripada kawasan tanah yang lebih luas berukuran 287.7 hektar di Kapar, Selangor yang ketika ini kosong dan dipegang untuk tujuan pembangunan.
Menurutnya ELSB membeli tanah itu pada 2019 dengan kos pelaburan asal berjumlah RM57.18 juta.
“Penjualan wajib itu susulan penerimaan notis untuk mengambil alih tanah berkenaan di bawah Seksyen 18 Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya.
Eonmetall berkata keputusan bagi jumlah yang dipertimbangkan itu dibuat dalam sesi pendengaran berkaitan tanah pada 28 Nov 2023 berdasarkan fakta yang dikemukakan oleh wakil ELSB dan pihak lain yang berkaitan.
“Jumlah akhir yang diberikan tertakluk kepada penerimaan notis tanpa apa-apa bantahan oleh ELSB dan pihak lain yang berkaitan pada 11 Jan 2024,” katanya.
Kumpulan itu menyatakan keuntungan RM28.5 juta yang diterima daripada penjualan wajib itu akan digunakan bagi tujuan pengembangan perniagaan pada masa depan, modal kerja dan pembayaran semula hutang.
— BERNAMA
TAG: Eonmetall Group, Eonmetall Land, penjualan wajib, Akta Pengambilan Tanah 1960




