KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Konsortium anak syarikat milik penuh Rohas Tecnic Bhd (RTB), Rohas-Euco Industries Bhd (REI) dan Sediabena Builders Sdn Bhd (SBSB) memperoleh kontrak daripada Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) untuk kerja pembinaan dan penyiapan bahagian luar Stesen Bukit Chagar bagi Projek Rapid Transit System Link Johor Bahru – Singapura (Projek RTS Link – Pakej 8) bernilai RM199.84 juta.
MRTS adalah anak syarikat Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd. Konsortium REI dan SBSB ditubuhkan pada 20 Okt 2023 bagi tujuan pembidaan Projek RTS Link.
RTB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata selepas penganugerahan Projek RTS Link – Pakej 8 itu, REI dan SBSB akan memeterai perjanjian usaha sama secara terperinci dengan cadangan nisbah ekuiti sebanyak 70 peratus (REI) dan 30 peratus (SBSB).
Projek RTS Link – Pakej 8 dijangka siap pada 31 Mei, 2025, katanya.
Menurut syarikat itu, projek tersebut tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama RTB kerana ia tidak melibatkan sebarang peruntukan atau penerbitan saham baharu oleh RTB.
Tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka, Projek RTS Link – Pakej 8 dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan RTB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 dan 2025, dan membawa impak kewangan positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan RTB.
— BERNAMA




