PETALING JAYA, 4 Jan (Bernama) — LBS Bina Group Bhd meletakkan sasaran jualan hartanah sebanyak RM1.8 bilion untuk 2024 berdasarkan tinjauan positif bagi pasaran itu.
Kumpulan itu menutup 2023 dengan jualan hartanah berjumlah RM1.70 bilion, meleset daripada sasaran awal sebanyak RM2 bilion.
Tahun ini, pemaju hartanah itu merancang melancarkan 10 projek baharu merangkumi 4,858 unit dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.33 bilion di Lembah Klang, Johor dan Pahang.
Pengerusi Eksekutif Tan Sri Dr Lim Hock San berkata pasaran hartanah dijangka kekal kukuh tahun ini berikutan permintaan berterusan untuk rumah mampu milik di Lembah Klang dan bahagian lain di negara ini.
“Unjuran pertumbuhan ekonomi 4.5- 5.5 peratus bagi 2024 telah menambah keyakinan kepada kami,” katanya kepada pemberita hari ini selepas taklimat media.
Lebih-lebih lagi, Lim berkata perkembangan terkini seperti pengecualian visa untuk pelancong dari China, India serta rantau Arab, dijangka menarik lebih ramai pelancong dan merancakkan aktiviti perniagaan di Malaysia.
“Secara keseluruhan, tahun ini kelihatan sangat optimis dan walaupun saya gunakan istilah itu dengan berhati-hati, kami yakin dapat mencapai (sasaran jualan) RM1.8 bilion,” katanya.
Lim ketika mengulas mengenai prestasi 2023 berkata memandangkan sentimen pasaran termasuk keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, kumpulan itu terpaksa menangguhkan beberapa pelancaran sehingga 2024, yang membawa kepada penurunan dalam jualan hartanah.
“Namun begitu, kami tetap fokus dalam mencapai sasaran kami untuk tahun ini. Sorotan utama ialah kejayaan penghantaran pemilikan kosong membabitkan 4,872 unit bernilai RM 2.40 bilion.
“Kami akan terus memantau pasaran dan melaksanakan strategi yang sesuai bagi memastikan operasi kami tidak terganggu dan kami kekal optimistik tentang prospek pertumbuhan kami untuk 2024 ,” tambahnya.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan memberitahu LBS terlibat secara aktif dalam 19 projek pembangunan yang sedang berjalan, secara kolektif dianggarkan mempunyai GDV sebanyak RM5 bilion.
Sehingga 31 Dis 2023, simpanan tanah kumpulan itu meliputi kira-kira 1,119.77 hektar, rizab yang besar ini dijangka mengekalkan kumpulan itu untuk 10 hingga 15 tahun akan datang.
Kumpulan itu juga mempunyai jualan belum dibil berjumlah RM1.99 bilion, memastikan prospek pendapatan yang agak mantap untuk dua hingga tiga tahun akan datang.
— BERNAMA




