KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Unit milik penuh XOX Bhd, XOX Com Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Uni Comms International Sdn Bhd, anak syarikat UCSI Group Holdings Sdn Bhd untuk meneroka kerjasama dalam bidang perkhidmatan mudah alih label putih.
Perkongsian itu juga bertujuan untuk meningkatkan gaya hidup digital pelajar dari institusi pengajian tinggi di Malaysia di bawah Program Mysiswa terutamanya pelajar dari Universiti UCSI, kata XOX dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia berkata Uni Comms mempunyai lesen pengendali rangkaian maya mudah alih yang sah di Malaysia untuk menyediakan telekomunikasi dan perkhidmatan lain yang berkaitan kepada pelanggannya.
“Menurut MoU itu, Uni Comms akan menggunakan perkhidmatan mudah alih label putih untuk ditawarkan kepada pelanggannya di Malaysia. XOX Com, sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian maya mudah alih seterusnya akan menyediakan perkhidmatan tersebut kepada Uni Comms.
“Antara perkhidmatan berkenaan adalah perkhidmatan suara, pemesejan, perkhidmatan perayauan antarabangsa dan perkhidmatan data,” katanya.
Menurut XOX, selepas mengambil kira semua aspek MoU itu, ahli lembaga pengarah berpendapat bahawa kerjasama itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.
Secara umum, perkhidmatan mudah alih label putih akan melibatkan entiti atau pihak yang membina perisian atau aplikasi dan membenarkan entiti atau pihak lain, biasanya perniagaan lain, menggunakan, menjenamakan semula atau menawarkan perisian atau aplikasi itu sebagai miliknya.
— BERNAMA




