KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Sekurang-kurangnya 75 peratus daripada pembiaya Kemudahan Pembiayaan Pelbagai Mata Wang (Pembiaya MCF) bernilai RM10.3 bilion telah memberikan kelulusan secara prinsip untuk cadangan skim penstrukturan semula hutang (PRS), menurut Sapura Energy Bhd.
Menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini, Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC) telah memberikan “pengesahan bertulis” mengenai perkara itu, merupakan pencapaian penting dalam pelan penyusunan semula, yang merangkumc usaha menangani beban hutang tidak mampan dan bayaran tertunggak kepada pemiutang perdagangan.
Tindakan ini membabitkan tuntutan kira-kira RM1.5 bilion daripada vendor, katanya.
“Dengan adanya kelulusan dasar, kami cukup yakin perjalanan ini sudah menghampiri penghujungnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Anuar Taib.
Beliau berkata ini merupakan langkah positif ke arah mengatur semula kedudukan kewangan syarikat agar Sapura Energy akhirnya tidak lagi berstatus syarikat Nota Amalan 17.
Menurut Sapura Energy, syarikat dan penasihatnya akan terus bekerjasama dengan Pembiaya MCF dan CDRC untuk memastikan penstrukturan semula hutang diselesaikan dengan tuntas.
Sejak September tahun lepas, Sapura Energy dan Pembiaya MCF telah berunding melalui CDRC bagi mencapai kata sepakat berhubung PRS berkenaan.
“Kelulusan secara prinsip untuk PRS membuka ruang kepada suatu mesyuarat melalui perintah mahkamah diadakan bersama pemiutang Sapura Energy dan anak syarikat yang berkaitan,” katanya.
— BERNAMA




