KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) — Sarawak Cable Bhd mengumumkan Serendib Capital Ltd muncul sebagai firma wira selepas mengemukakan minat untuk melakukan langkah resusitasi ke atas syarikat pembuatan berstatus PN17 yang disenaraikan di Pasaran Utama itu pada 5 Dis, 2023.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Sarawak Cable menjelaskan Serendib Capital ialah pelabur yang berpangkalan di United Kingdom dengan pengalaman selama lebih dua dekad dalam khidmat nasihat dan penstrukturan semula aset kewangan di Asia Selatan.
Rekod prestasi Serendib Capital merangkumi beberapa urus janji serantau berprofil tinggi, dengan yang paling besar ialah penstrukturan semula dan tindakan menyelamatkan Lanka Bangla Finance PLC, apabila mendapatkan pelabur dengan lebih 50 kali modal yang dilaburkan.
“Ini akan menjadi urus janji Malaysia paling utama yang pertama bagi Serendib Capital, dan syarikat itu telah menyediakan rizab dana berjumlah RM250 juta.
“Rizab dana itu akan digunakan untuk menstrukturkan semula dan membayar pemiutang tertunggak, serta untuk suntikan modal ke dalam syarikat bagi menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap pembangunan grid infrastruktur dan kabel voltan tinggi,” tambahnya.
Sarawak Cable memaklumkan bahawa Serendib Capital melihat penekanan yang semakin meningkat terhadap pembangunan nasional infrastruktur elektrik Malaysia sebagai saranan yang menarik untuk Sarawak Cable.
Peningkatan elektrifikasi pengangkutan, kesambungan grid ASEAN, pertumbuhan pesat pusat data yang mementingkan tenaga serta permintaan untuk kenderaan elektrik adalah pemacu utama untuk pertumbuhan dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Cable, Russell Boyd berkata pihaknya melihat perkongsian itu sebagai satu perkembangan yang sangat positif dalam usaha untuk menstrukturkan semula komitmen kewangan di Sarawak Cable.
“Kami berharap dapat memanfaatkan kemahiran kewangan dan kepakaran pemulihan Serendib Capital jadi, kami dapat menumpu untuk melaksanakan kontrak yang telah kami peroleh bernilai RM900 juta,” katanya dalam kenyataan yang sama.
— BERNAMA




