KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah membuat cadangan untuk menyelesaikan sebahagian daripada hutangnya berjumlah RM183.26 juta dengan tiga pihak pemiutang serta melunaskan sepenuhnya hutang RM234 juta dengan Boustead Holdings Bhd (BHB) sebelum tarikh akhir pada 31 Dis, 2023.
Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, BHIC berkata ia berhutang RM183.26 juta kepada tiga bank iaitu masing-masing Affin Bank Bhd (RM30 juta), MBSB Bank Bhd (RM63.25 juta) dan AmBank Islamic Bhd (AmIslamic) sebanyak RM90 juta, yang akan diselesaikan menerusi gabungan tunai dan terbitan saham biasa baharu serta saham keutamaan boleh tukar boleh tebus “Kelas A”, kedua-duanya konvensional (RCPS A) dan Islam (RCPS-i A) pada harga terbitan 57 sen sesaham.
Hutang berjumlah RM234 juta dengan BHB akan dilunaskan menerusi masing-masing terbitan saham BHIC baharu, saham keutamaan boleh tukar boleh tebus “Kelas B” (RCPS B) dan saham keutamaan boleh tebus “Kelas C” (RPS C), juga pada 57 sen sesaham.
Menurut BHIC, tiada hasil tunai akan diraih daripada cadangan penyelesaian hutang dengan pihak pemiutang yang dilaksanakan bagi menyelesaikan sebahagian daripada pembiayaan tertunggak pada tarikh ditetapkan BHIC kepada pemiutang.
“Seterusnya, tiada hasil yang dikumpulkan oleh syarikat menerusi penukaran RCPS A dan RCPS-i A kepada saham-saham baharu BHIC. Bagi mengelak sebarang keraguan, cadangan penyelesaian untuk MBSB dan AmIslamic dan terbitan RCPS A-i kepada MBSB dan AmIslamic akan dibuat secara patuh Syariah,” katanya.
BHIC berkata adalah penting bagi kumpulan melakukan langkah penyusunan semula hutangnya bagi memastikan kemampanan pendapatan, aliran tunai serta keperluan perbelanjaan modal di masa akan datang.
Mengikut keputusan kewangan BHIC yang belum diaudit bagi tempoh berakhir 30 Sept, 2023, BHIC mempunyai dana pemegang saham sebanyak RM53.5 juta selepas mengambil kira kerugian terkumpul sebanyak RM195 juta.
Selain itu, ia turut mencatat kedudukan tunai bersih dan setara tunai negatif pada RM16.1 juta.
— BERNAMA




