GEORGE TOWN, 6 Dis (Bernama) — MY EG Lodging (NC) Sdn Bhd, anak syarikat MY E.G. Services Bhd, akan melabur RM108 juta untuk memulakan kerja-kerja pembinaan bagi projek perumahan pekerja asing dan fasiliti berkaitan di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Pengarah MY EG Lodging Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah berkata projek ini akan siap pada 2026 dan dapat menampung sekurang-kurangnya 8,000 pekerja asing.
Katanya MY EG Lodging telah berjaya memenangi tender projek perumahan pekerja asing daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada April tahun ini.
“Tujuan projek ini untuk menyediakan penyelesaian penginapan pekerja asing kepada sektor swasta, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia selain bertindak sebagai penyelesaian komprehensif yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Pendekatan ini juga dapat memperkemas proses dan menawarkan penyelesaian holistik kepada pekerja asing dan PKS yang bakal menggunakan perkhidmatan ini,” katanya selepas menandatangani perjanjian pajakan bagi projek tersebut dengan PDC di sini hari ini.
Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Katanya perjanjian pajakan tersebut bernilai RM20.4 juta untuk tempoh 30 tahun, memberi MY EG Lodging hak untuk membina dan mengendalikan projek perumahan pekerja asing dan fasiliti berkaitan di atas tanah seluas 3.395 hektar di Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3).
Projek tersebut merangkumi lima tingkat asrama pekerja sebanyak 445 unit asrama dan bakal dilengkapi dengan fasiliti seperti kedai runcit, dobi, klinik, surau, bilik kuarantin, kemudahan sukan (gelanggang badminton, bola keranjang), kawasan rekreasi dan lain-lain.
Sementara itu, Chow berkata pembangunan asrama pekerja secara berpusat, terkawal dan terancang ini akan terus menyokong kadar pertumbuhan pesat pembangunan perindustrian di Pulau Pinang.
Katanya pembangunan asrama pekerja ini bakal menyelesaikan masalah kebanjiran warga asing yang mendiami skim perumahan sedia ada, menangani isu susut nilai hartanah dan kedatangan warga asing yang tidak berdaftar.
“Justeru, bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab pelaburan tempatan dan antarabangsa, kerajaan negeri sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaburan di negeri ini,” katanya.
— BERNAMA




