KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Anak syarikat milik 60 peratus Eita Resources Bhd, TransSystem Continental Sdn Bhd (TSC) telah memperoleh kontrak berjumlah RM56.31 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk pemulihan pencawang masuk utama (PMU) 132/11 kilovolt (kV) Gurun di Kedah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata skop kerja TSC untuk kontrak itu termasuk membekal, mendirikan, menguji dan mentauliahkan pencawang transmisi luar konvensional 132kV baharu untuk menggantikan stesen lama sedia ada.
TSC berkata kerja-kerja lain termasuk sivil, talian penghantaran dan pengubahsuaian ‘remote ends relay retrofits’.
Kontrak itu berkuat kuasa mulai 30 November 2023 dan dijangka siap dalam 730 hari dari tarikh permulaan.
“Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih dan tahap kadar hutang kumpulan Eita bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan itu sepanjang tempoh kontrak berkenaan.
— BERNAMA




