KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.
Kerjasama itu dianggarkan sebanyak 1 gigawatt (GW) projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, ia merupakan projek penting kepada MoU MIDA-Masdar 10GW yang ditandatangani pada Oktober 2023.
Pada MoU Oktober 2023 itu, Masdar menandatangani MoU dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk melabur US$8 bilion untuk sehingga 10 GW projek tenaga boleh diperbaharui dalam perkongsian yang akan menyumbang dengan ketara kepada transformasi tenaga lestari Malaysia.
Kerjasama terbaharu ini, dianggarkan pada 1GW projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, mengukuhkan lagi komitmen entiti untuk memajukan landskap tenaga boleh diperbaharui Malaysia, kata Cypark dalam satu kenyataan.
“Menekankan inovasi, kerjasama itu akan menumpukan pada teknologi canggih termasuk solar terapung, solar yang dipasang di tanah, solar atas bumbung, hidro dan sistem hibrid. Penekanan ini bertujuan memastikan penyelesaian tenaga yang pelbagai dan cekap.
“Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama secara aktif dalam pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) untuk meningkatkan kestabilan grid dan mengoptimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Cypark Datuk Ami Moris berkata Cypark berharap dapat bekerjasama dengan Masdar, menyelaraskan pengalaman gabungan dengan usaha global untuk beralih ke arah masa depan rendah karbon.
“Sebagai pengeluar solar dan sisa kepada tenaga yang terkemuka di Malaysia, kami akan terus mengembangkan ekosistem tenaga boleh diperbaharui di Malaysia,” katanya.
— BERNAMA




