KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 (suku ketiga tahun kewangan 2023) melonjak kepada RM1.21 bilion daripada RM396 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas didorong oleh keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) berulang dan tidak berulang yang tinggi.
Perolehan, bagaimanapun, merosot kepada RM4.77 bilion daripada RM5.39 bilion sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu berkata PBIT berulang untuk segmen huluan meningkat kepada RM547 juta, peningkatan yang menggalakkan daripada RM249 juta pada suku tahun sama sebelum ini, diterajui oleh pemulihan operasi Malaysia yang kukuh.
“Faktor utama yang mendorong keuntungan lebih tinggi ialah peningkatan 14 peratus untuk pengeluaran tandan buah segar (TBS) kepada 2.45 juta tan dengan Malaysia mencatatkan kenaikan 38 peratus tahun ke tahun, hasil daripada usaha pemulihan yang intensif dan kadar perahan minyak (OER) yang tinggi yang meningkat daripada 20.88 peratus kepada 21.12 peratus.
“Impak baik tersebut mengimbangi penurunan purata harga realisasi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK), yang masing-masing susut 12 peratus dan 11 peratus,” katanya.
Sementara itu, Sime Darby Plantation berkata sektor hiliran mencatatkan PBIT sebanyak RM225 juta pada suku tahun semasa berbanding RM337 juta pada suku tahun sama pada tahun sebelumnya dipengaruhi oleh margin dan permintaan yang rendah dalam operasi di Asia Pasifik, walaupun ini sebahagiannya diimbangi oleh prestasi yang baik dalam operasi di Eropah.
Mengenai prospek, katanya harga komoditi dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat berikutan kebimbangan geopolitik yang berterusan dan ketidaktentuan makroekonomi global.
“Walaupun El Nino belum menyebabkan kekeringan yang meluas di Asia Tenggara, di peringkat global, ia telah menyumbang kepada kebimbangan mengenai bekalan disebabkan pengeluaran minyak sayuran yang mungkin terjejas pada 2024.
“Walaupun permintaan dijangka berkembang secara bermusim dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tahap inventori yang tinggi di destinasi utama boleh mengehadkan kenaikan harga,” katanya.
Katanya dalam jangka panjang, harga komoditi dijangka kekal stabil berikutan permintaan konvensional untuk makanan dan bahan api yang kekal kukuh.
Sime Darby Plantation berkata pihaknya optimis untuk mencapai pengeluaran TBS yang tinggi untuk setahun penuh, sebahagian besarnya didorong oleh produktiviti buruh dan keadaan lapangan dalam operasinya di Malaysia yang lebih baik.
Katanya syarikat juga terus meneroka pertumbuhan selanjutnya dalam pasaran baharu dan sedia ada, terutamanya melalui cabang hilirannya Sime Darby Oils.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih Sime Darby Plantation susut kepada RM1.66 bilion daripada RM1.93 bilion pada tahun lepas dan perolehan berkurangan kepada RM13.15 bilion daripada RM15.36 bilion sebelum ini.
Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata syarikat dijangka mencatatkan prestasi yang memuaskan pada tahun ini walaupun permulaan yang mencabar pada 2023.
“Saya juga gembira dengan kerjasama strategik yang telah diwujudkan oleh syarikat baru-baru ini di China dan India, dua daripada negara-negara eksport utama kita.
“Kami berharap untuk memanfaatkan lebih banyak nilai dengan kerjasama ini berikutan usaha penambahbaikan yang berterusan akan memastikan kami dapat mengakhiri separuh kedua tahun ini dengan lebih kukuh,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata selepas cabaran yang dialami antara 2020 dan pertengahan 2023, syarikat melihat hasil daripada kerja-kerja pemulihan selama berbulan-bulan dengan peningkatan tenaga kerja yang berjaya memulihkan operasi huluan Malaysia pada suku ketiga tahun kewangan 2023.
“Kami menjangka untuk mencapai pelengkap penuh penuai untuk Sabah dan Sarawak pada akhir tahun dan pertengahan 2024, penuai ini akan memperoleh kemahiran yang mencukupi untuk menjadi lebih produktif.
“Kami juga akan terus menempatkan tenaga kerja kami memandangkan kami tidak lagi mengambil pekerja asing baharu untuk kerja-kerja bukan penuaian,” katanya.
Syarikat mengumumkan dividen interim khas sebanyak 5.70 sen sesaham untuk tahun kewangan 2023 pada 27 Okt 2023.
— BERNAMA




