KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — UMW Group (UMW) mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 44,767 unit kenderaan pada Oktober berikutan kedua-dua UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, terus menyerahkan pesanan tertunggak mereka bulan lepas.
Dalam satu kenyataan hari ini, UMW Group berkata bagi tahun setakat ini hingga Oktober 2023, jualan kumpulan automotif itu meningkat 17 peratus kepada 354,505 unit daripada 302,356 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“UMWT mencatatkan 10,931 unit pada Oktober 2023, jualan bulanan tertinggi dalam tempoh lima tahun, dan 18 peratus lebih tinggi daripada 9,281 unit yang dicatatkan pada Oktober 2022.
“Setakat Oktober 2023, UMWT mencatatkan jualan 87,442 unit, pertumbuhan sembilan peratus berbanding 80,153 unit kenderaan yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2022,” katanya.
UMWT melancarkan Toyota Vellfire dan Toyota Alphard serba baharu pada 23 Okt 2023, masing-masing berharga daripada RM438,000 dan RM538,000.
Sementara itu, UMW berkata Perodua mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 31 peratus kepada 33,836 unit pada bulan lepas, iaitu jualan bulanan tertinggi setakat ini berbanding 25,849 unit yang dicatatkan pada bulan yang sama pada 2022.
“Jualan Perodua setakat Oktober tahun ini melonjak kepada 267,063 unit, 20 peratus lebih tinggi berbanding 222,203 unit yang diserahkan pada tempoh yang sama pada 2022.
“Bagi 10 bulan pertama 2023, Bezza merupakan model terlaris Perodua, diikuti Axia dan Myvi,” katanya.
Pegawai UMW Holdings Bhd Megat Shahrul Azmir berkata bagi tahun setakat ini, kedua-dua syarikat terus mencatatkan jualan yang lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2022.
“Kami yakin kedua-dua syarikat akan mencapai sasaran jualan 2023 mereka berdasarkan tempahan tertunggak serta permintaan yang berterusan untuk kenderaan baharu.
“Pengenalan model baharu dan kenderaan berwajah baharu dijangka memacu jualan,” katanya.
— BERNAMA




