KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) — MISC Bhd telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk terikat untuk membekal, mengendali dan menyelenggara unit simpanan terapung (FSU) dengan Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (PLNG2SB), anak syarikat Petronas Gas Bhd (PGB) dengan anggaran nilai kontrak sebanyak US$213.7 juta (US$1=RM4.76).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MISC berkata syarikat itu akan membuat perubahan kepada satu daripada pengangkut gas asli cecair (LNG) Kelas Puteri Satu iaitu Puteri Delima Satu, yang menamatkan carter jangka panjangnya pada awal 2023 dan pada masa ini berlabuh sementara di FSU.
“Perjanjian ini sah untuk tempoh 20 tahun daripada jangkaan tarikh beroperasi pada 2025 dan mungkin dilanjutkan untuk tempoh yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.
MISC berkata projek ini adalah kesinambungan daripada kerjasama antara MISC dan PGB pada 2012 yang membawa kepada kejayaan pelaksanaan FSU Tenaga Satu dan FSU Tenaga Empat di Terminal Regasifikasi LNG Sungai Udang, Melaka.
“FSU ini dihasilkan untuk menerima kuasa pesisir bagi mengurangkan pelepasan di samping meningkatkan kecekapan operasi dan dijangka beroperasi secara komersial menjelang suku kedua 2025 menerusi tempoh kontrak selama 20 tahun dengan tawaran lanjutan berdasarkan persetujuan bersama,” katanya.
Naib Presiden MISC bagi Aset dan Penyelesaian Gas, Hazrin Hasan berkata perkongsian ini merangkumi asas kepada perkembangan dan komitmen bersama antara kedua-dua pihak.
“Dengan menggunakan semula aset sedia ada kami dan memanfaatkan pengalaman kami semasa mengendalikan FSU Tenaga Satu dan FSU Tenaga Empat, kami bukan sahaja mencipta peluang untuk menjana perolehan, malah turut mendorong pulangan pemegang saham yang lebih baik,” katanya.
— BERNAMA




