KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd, memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM226 juta daripada Aspen Vision City Sdn Bhd (AVC).
Kerjaya Prospek dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kontrak tersebut adalah untuk mereka bentuk dan membina cadangan pembangunan dua blok pangsapuri 37 tingkat setiap satu, menempatkan sejumlah 980 unit kediaman dan podium tujuh tingkat yang termasuk tempat letak kereta, kemudahan rekreasi komuniti dan lot kedai.
Syarikat itu berkata, projek pembangunan tersebut terletak di Mukim 13, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
“Kontrak tersebut akan bermula pada 27 Okt, 2023 dan dijangka siap dalam tempoh 42 bulan dari tarikh permulaan.
“Ia dijangka memberikan aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.
— BERNAMA




