KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Jualan automotif kumpulan UMW meningkat sebanyak 18 peratus pada Ogos 2023 dengan 41,386 unit dihantar apabila UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua menyerahkan pesanan tertunggak mereka.
Jualan kenderaan kumpulan itu meningkat sebanyak 16 peratus kepada 271,515 unit untuk lapan bulan pertama 2023 berbanding 233,367 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, katanya dalam satu kenyataan.
UMWT mencatatkan jualan yang lebih kukuh pada Ogos tahun ini dengan penghantaran sebanyak 10,275 unit, naik 13 peratus daripada 9,091 unit yang dihantar pada Ogos 2022.
Bagi tahun sehingga kini (YTD) pada Ogos 2023, UMWT mencatatkan 67,283 unit, naik sembilan peratus berbanding 61,639 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu dan menguasai 13.4 peratus bahagian pasaran.
Model yang paling laris ialah Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross. UMWT memperkenalkan Toyota Corolla 2023 yang dipertingkatkan dan varian Corolla GR Sport. Ia juga melancarkan varian Lexus RX500h F Sport 2023 dan Lexus RX350 serba baharu pada Mei 2023, kata kumpulan UMW.
Sementara itu, Perodua mencatatkan 31,111 unit pada Ogos 2023, naik sebanyak 19 peratus berbanding 26,039 unit yang dihantar pada Ogos 2022, terutamanya disebabkan oleh penambahbaikan rantaian bekalan dan peningkatan operasi pengeluaran dan jualan.
Bagi YTD Ogos 2023, jualan Perodua melonjak kepada 204,232 unit, naik 19 peratus daripada 171,728 unit dalam tempoh yang sama pada 2022.
“Sehubungan itu, Perodua menguasai 40.7 peratus bahagian pasaran bagi YTD Ogos 2023 dengan model paling laris mereka ialah Bezza, diikuti Myvi dan Axia,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata bagi YTD Ogos 2023, kedua-dua syarikat itu mencatatkan jualan lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh model-model baharu dan promosi yang kompetitif dan menarik.
“Berdasarkan kepada tempahan yang tertunggak, kami yakin kedua-dua syarikat akan berjaya mencapai sasaran jualan 2023 mereka,” tambahnya.
— BERNAMA
TAG: UMW Group, jualan, automotif, UMWT, Perodua, Ogos




