PASIR PUTEH, 14 Sept (Bernama)– Pembukaan gudang Hibiscus Petroleum Oil and Gas Malaysia Limited (Hibiscus Petroleum) di Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) bulan depan bakal memberi manfaat ekonomi kepada negeri Kelantan.
Ketua Pegawai Eksekutif Hibiscus Petroleum Dr Pascal Hos berkata pemilihan lokasi operasi baharu ini adalah untuk menggantikan gudang yang sebelum ini beroperasi di Kemaman, Terengganu dengan mengambil kira kawasan berhampiran tempat cari gali minyak syarikat tersebut perlu terletak berhampiran dengan TBSB.
“Sebagai syarikat yang menitikberatkan tanggungjawab sosial, Hibiscus Petroleum mengendalikan program-program yang berobjektif untuk meningkatkan kualiti hidup dan sosioekonomi komuniti di kawasan operasi.
“Keberadaan Hibiscus Petroleum di TBSB akan meningkatkan lagi ekonomi penduduk sekitar Pasir Puteh dan Kelantan menerusi program khidmat sosial yang akan dilaksanakan syarikat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kempen Keselamatan Murid Daerah Pasir Puteh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ismail di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mashadi Mustafa.
Pascal berkata kempen anjuran Hibiscus Petroleum itu melibatkan 400 murid daripada enam buah sekolah rendah daerah Pasir Puteh dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan bagi memberi pendedahan berhubung panduan awal keselamatan diri pelajar.
Sebagai permulaan beberapa program CSR dilaksanakan di Kelantan tahun ini antaranya ialah bantuan bimbingan pengurusan perniagaan kepada 20 penguasaha keropok di Pasir Puteh.
Hibiscus Petroleum turut memberi khidmat bimbingan daripada segi pemasaran dan penggunaan teknologi pasaran digital kepada kelompok itu beberapa bulan lepas, keberkesanan program tersebut akan dinilai dalam tempoh setahun.
“Kami akan cuba meneroka sektor ekonomi lain yang boleh dimajukan dari semasa ke semasa di Kelantan terutama yang memberi impak penjanaan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.
Untuk rekod, Hibiscus Petroleum adalah sebuah syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak serta gas bebas tempatan yang telah beroperasi selama 12 tahun di Malaysia.
–BERNAMA