KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Fiamma Holdings Bhd mengumumkan bahawa ia telah membayar premium tanah sebanyak RM109.64 juta untuk tanah seluas 0.76 hektar (ha) di sepanjang Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, bagi unitnya Sinaran Urusjuta, yang terlibat dalam perniagaan aktiviti hartanah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Fiamma berkata Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (pejabat tanah) telah memberikan kelulusan tanah pemberian milik berikutan pembayaran premium tersebut.
Tanah itu sedang dirancang bagi pembangunan bercampur, terdiri daripada 20 peratus kediaman dan 80 peratus unit komersial.
“Tanah ini terletak secara strategik di pusat bandar Kuala Lumpur yang dinamik serta bertingkat tinggi dengan bangunan pejabat mewah, pusat membeli-belah, hotel mewah dan pelbagai kemudahan serta dengan pemandangan luas dari Menara Berkembar Petronas yang futuristik.
“Ianya juga terletak secara sinergi berhampiran tanah sedia ada seluas 0.56 hektar di Jalan Yap Kwan Seng,” tambahnya.
— BERNAMA




