KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih DRB-Hicom Bhd susut kepada RM33.71 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 daripada RM169.56 juta pada suku yang sama tahun lepas disebabkan keuntungan yang lebih rendah daripada operasi dan kos kewangan yang lebih tinggi.
Hasil, bagaimanapun, meningkat 12 peratus kepada RM3.98 bilion daripada RM3.55 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi separuh pertama 2023, keuntungan bersihnya merosot kepada RM141.62 juta daripada RM143.82 juta pada separuh pertama 2022, manakala hasil melonjak 22.1 peratus kepada RM8.09 bilion daripada RM6.62 bilion sebelumnya.
Dalam satu kenyataan berasingan kumpulan itu berkata prestasi pada separuh pertama 2023 didorong terutamanya oleh sektor automotif, khususnya oleh Proton, serta pengedaran automotif DRB-Hicom, dan syarikat pembuatan dan kejuruteraan, yang mencatatkan peningkatan pendapatan 27.8 peratus tahun ke tahun.
Ia berkata bagi tempoh yang sama hasil sektor perbankan meningkat 37.3 peratus tahun ke tahun kepada RM806.77 juta terutamanya disebabkan oleh pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi diterajui oleh pertumbuhan dalam volum pembiayaan.
Ini disebabkan oleh pertumbuhan mampan dan pangkalan pelanggan yang berkembang serta kenaikan kadar dasar semalaman daripada 2.0 peratus kepada 3.0 peratus, katanya.
DRB-Hicom berkata hasil bagi sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 13.3 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2023 didorong oleh perniagaan katering dalam penerbangan dan kontrak baharu yang diraih oleh perniagaan logistik.
Hasil sektor hartanah meningkat sebanyak 20.6 peratus pada tempoh yang sama terutamanya disebabkan hasil lebih tinggi daripada projek pembinaan hartanah, yang sebahagiannya diimbangi oleh hasil yang lebih rendah daripada projek pembangunan, katanya.
Mengenai prospek, DRB-Hicom berkata untuk memastikan pertumbuhan yang mampan, kumpulan itu akan terus memperkukuh kecekapan operasi dan inisiatif pengurusan kos bagi sektor teras lain, iaitu aeroangkasa dan pertahanan, perbankan, perkhidmatan dan hartanah.
“Sektor pos kekal di landasan dalam pelan hala tuju transformasinya, dengan memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan terus mengamalkan disiplin kawalan kos yang berhemat,” katanya.
Kumpulan itu menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 berbanding tahun kewangan 2022.
— BERNAMA
TAG: DRB-Hicom, suku kedua, keputusan, automotif, perbankan




