KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini seiring dengan prestasi semalaman Wall Street yang kurang memberangsangkan.
Pada 9.30 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.95 mata kepada 1,438.72 daripada 1,444.67 pada penutupan Khamis, selepas dibuka lemah 0.46 mata pada 1,444.21.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 336 berbalas 185, manakala 301 kaunter tidak berubah, 1,552 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 599.50 juta unit bernilai RM425.29 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, tekanan jualan dijangka muncul di pasaran tempatan, berikutan kegiatan jualan di Wall Street.
Firma broker itu menyatakan peniaga masih menantikan ucapan pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell di Simposium Jackson Hole malam ini kerana ia mungkin memberikan petunjuk untuk dasar monetari masa hadapan.
“Sementara itu, niaga janji antara Sime Darby-UMW dan KLK-Boustead Plantations boleh mengehadkan risiko penurunan dalam pasaran saham.
“Pada masa sama, memandangkan keputusan kewangan korporat Malayan Cement yang begitu cemerlang, kami percaya terdapat lebih banyak peningkatan bagi segmen bahan binaan,” katanya dalam nota hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM4.86, Maxis naik tiga sen menjadi RM4.13, Maybank susut tiga sen menjadi RM8.98, Public Bank turun satu sen kepada RM4.07, CIMB merosot dua menjadi RM5.56 dan TNB kerugian 10 sen untuk mencatatkan RM9.90.
Bagi saham aktif, Boustead Plantations melonjak 12 sen kepada RM1.49, YTL Power mengukuh 16 sen kepada RM1.91, Eco World mengembang 5.5 sen kepada 69.5 sen manakala Velesto tidak berubah pada 24 sen, RGB International turun satu sen kepada 36.5 sen dan CN Asia susut setengah sen kepada 22.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 34.64 mata kepada 10,633.94, Indeks FBMT 100 menguncup 31.19 mata menjadi 10,315.90 dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 50.43 mata kepada 10,861.32.
Indeks FBM 70 susut 11.23 mata pada 14,145.50 dan Indeks FBM ACE turun 39.64 mata kepada 5,275.14.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga lemah 3.11 mata kepada 820.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.14 mata menjadi 168.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 45.75 mata kepada 16,141.19 dan Indeks Perladangan kerugian 80.69 mata kepada 6,917.63.
— BERNAMA

