KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Southern Cable Group Bhd telah memperoleh kontrak tunggal terbesarnya bernilai RM332.1 juta untuk membekalkan kabel tenaga kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), menjadikan jumlah nilai perolehan kontraknya melebihi RM1 bilion.
Pengilang kabel dan wayar itu berkata di bawah surat penganugerahan yang diperoleh oleh anak syarikat milik penuhnya, Southern Cable Sdn Bhd, syarikat itu akan membekal dan menghantar kabel bawah tanah pelbagai saiz dan konduktor ke bahagian rangkaian pengedaran TNB selama setahun, mulai Julai 2023.
“Nilai perolehan kontrak semasa kumpulan berjumlah lebih RM1 bilion dijangka dihantar sehingga 2026, merangkumi kebanyakannya melibatkan pembekalan kabel dan wayar kepada pelbagai industri selain daripada pembekalan sistem penerus dan bateri serta produk lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pengarah Urusannya Tung Eng Hai berkata nilai perolehan kontrak itu telah mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai pengeluar kabel dan wayar terkemuka, menyokong momentum kukuh untuk mengukuhkan pendapatan kumpulan.
“Kami juga mengalami permintaan stabil daripada pelanggan lain yang terdiri daripada kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan serta penjual semula,” katanya.
Bersama dengan kontrak baharu itu, Southern Cable telah meraih lebih RM500 juta kontrak baharu tahun ini, terdiri daripada kontrak bekalan bernilai lebih RM460 juta daripada TNB dan kontrak bekalan sistem bateri RM44.8 juta daripada Telekom Malaysia Bhd.
— BERNAMA




