KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Anak syarikat Favelle Favco Bhd (FFB), Favelle Favco Cranes Pty Ltd dan Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd menerima kontrak bagi membekalkan kren menara dan kren luar pesisir dengan nilai gabungan berjumlah RM92 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata Favelle Favco Cranes Pty Ltd menerima kontrak daripada Marr Contracting Pty Ltd bagi membekalkan kren menara, yang dijangka diserahkan menjelang akhir 2023.
Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd turut menerima tiga kontrak pembekalan kren luar pesisir daripada Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd, yang dijangka diserahkan menjelang pertengahan 2024; manakala daripada Samsung Heavy Industries Co Ltd, dijangka diserahkan pada awal tahun 2025; dan Shinfox Far East Company Pte Ltd, dijangka diserahkan menjelang suku ketiga 2024.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih FFB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 dan seterusnya,” katanya.
Kumpulan itu juga berkata kontrak itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham FFB.
— BERNAMA




