KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Anak syarikat pembinaan milik penuh Ibraco Bhd, Ibraco Construction Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM529.83 juta daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) untuk membina Pakej A1-A projek Jalan Utama Kedua Sarawak.
Ibraco Construction menerima surat setuju terima (LoA) daripada JKR Sarawak pada 28 Julai, 2023, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kontrak selama 42 bulan itu, yang dijadualkan bermula pada 8 Ogos 2023 hingga 7 Feb, 2027, melibatkan pembinaan dan penyiapan Jambatan Batang Samarahan baharu sepanjang sembilan kilometer (km) dan jalan empat lorong dua hala baharu dari Batang Samarahan ke Batang Sadong.
Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Chew Chiaw Han berkata LoA itu akan melonjakkan lagi nilai perolehan kontrak pembinaan semasa syarikat yang berjumlah RM763.2 juta setakat 31 Julai, 2023.
“LoA itu juga akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam industri, dan dijangka memberi sumbangan positif kepada profil pendapatan Ibraco, sekali gus menyediakan pendapatan kukuh kepada syarikat pada masa depan,” katanya.
— BERNAMA




