KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2023 meningkat kepada RM194.76 juta daripada RM162.29 juta pada tempoh yang sama tahun lepas berikutan pengurangan kos bahan api.
Perolehan meningkat kepada RM542.64 juta berbanding RM510.98 juta pada suku yang sama dalam tahun kewangan 2022 terutamanya disebabkan oleh peningkatan hasil kontena.
Syarikat pengendalian kargo marin itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini turut mengumumkan dividen satu peringkat interim pertamanya sebanyak 8.19 sen, berjumlah RM279 juta yang akan dibayar pada 22 Ogos, 2023.
Bagi tempoh setengah tahun, syarikat itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM378.35 juta dan perolehan sebanyak RM1.06 bilion.
Dalam satu kenyataan berasingan, Westports berkata segmen kontena menyumbang 87 peratus daripada jumlah perolehan dengan mengendalikan jumlah pemprosesan sebanyak 5.24 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU).
“Pembukaan semula aktiviti ekonomi pasca COVID-19 di Timur Jauh membawa kepada penyusunan semula kontena manakala perdagangan antara Asia kekal menggalakkan.
“Tahap kecekapan rantaian bekalan global yang kembali normal juga mengurangkan keperluan penyimpanan kontena yang berlebihan yang seterusnya membawa kepada hasil operasi yang rendah sedikit sebanyak RM1.02 bilion,” katanya.
Menurut syarikat itu, bagi kos operasi, kos tenaga kerja merupakan komponen tunggal paling penting pada 34 peratus.
“Walaupun tanpa jumlah pekerja yang ramai, kos meningkat disebabkan gaji dan elaun yang tinggi dibayar kepada kakitangan,” kata Westports.
— BERNAMA




