KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Econpile Holdings Bhd menerima kontrak bernilai RM43.38 juta untuk melaksanakan kerja-kerja substruktur bagi projek hartanah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Anak syarikat milik penuhnya Econpile (M) Sdn Bhd menerima surat lantikan daripada Regal Path Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja bagi dua blok pangsapuri perkhidmatan 47 tingkat dengan pembangunan komersial sedia ada yang terdiri daripada sebuah blok pusat membeli-belah runcit lima tingkat dengan dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah.
Pakar kerja-kerja cerucuk dan asas itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkatacprojek itu akan siap dalam tempoh 15 bulan daripada tarikh bermula, yang akan dimaklumkan kemudian.
Menurut Econpile, janji niaga itu dijangka menyumbang positif kepada perolehan dan pendapatan syarikat bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan selanjutnya.
Syarikat tidak meramalkan sebarang risiko yang signifikan selain daripada risiko operasi berkaitan projek itu sepanjang tempoh kontrak, katanya.
— BERNAMA




