KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Subsidiari milik penuh Able Global Bhd (AGB), Able Dairies Sdn Bhd (ADSB) telah memeterai perjanjian dengan Hond Tat Polymer Sdn Bhd (HTPSB) untuk menjual enam lot industri pegangan bebas dengan harga tunai RM34.68 juta.
AGB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata gabungan hartanah itu berjumlah 4.73 hektar (10.79 ekar).
Cadangan pelupusan itu merupakan peluang bagi membuka serta merealisasikan nilai tanah berkenaan, yang mana, AGB dianggarkan mengaut keuntungan sebanyak RM3.8 juta.
Hasil daripada pelupusan yang dicadangkan akan digunakan untuk membayar balik pinjaman yang ditanggung bagi pembelian tanah dan modal kerja am.
Cadangan pelupusan itu tidak akan memberi kesan kepada operasi perniagaan sedia ada syarikat.
Ia juga tidak akan menjejaskan modal saham terbitan AGB atau pegangan saham pemegang saham yang besar.
Ia juga tidak akan mempunyai apa-apa kesan material ke atas pendapatan sesaham.
Langkah tersebut dijangka selesai dalam tempoh 24 bulan dari tarikh perjanjian, katanya.
— BERNAMA




