KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) — Anak syarikat milik penuh tidak langsung Velesto Energy Bhd (VEB), Velesto Drilling Sdn Bhd, memperoleh kontrak untuk penyediaan satu Pelantar Penggerudian Jack-Up 10K untuk program penggerudian penerokaan 2022-2023 PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP), Thailand dianggarkan bernilai US$13 juta (US$1=RM4.66).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya kontrak itu diperoleh daripada anak syarikat PTTEP — PTTEP HK Offshore Ltd, PTTEP Sabah Oil Ltd dan PTTEP Sarawak Oil Ltd.
Katanya kontrak itu, yang dijangka bermula pada Februari 2023, adalah untuk menggerudi dua telaga dan Velesto Energy akan menugaskan NAGA 3 untuk kontrak tersebut.
Ditubuhkan pada 20 Jun 1985, PTTEP ialah syarikat minyak nasional Thailand dan perniagaan utamanya adalah meneroka dan menghasilkan produk petroleum, terutamanya gas asli, minyak mentah dan kondensat, dengan kawasan tumpuan di Thailand, Asia Tenggara dan Timur Tengah.
NAGA 3 ialah pelantar penggerudian jenis jack-up premium dengan keupayaan kedalaman penggerudian 9,144 meter dan kedalaman air operasi berkadar kira-kira 106.68 meter.
— BERNAMA




